Profail Sekolah

SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH KEBANGSAAN TERIANG

    SK Teriang yang dibuka pada tahun 1920 ini  mendapat namanya sempena kedudukan tapak dan kawasan sekolah ini  yang dibina di dalam Kampung Teriang, Endau, Mersing Johor. Secara geografinya, kampung Teriang terletak di bahagian timur negeri Johor dan merupakan sebuah kampung tradisional. Penempatannya berpusat  di muara sungai Teriang dan berkembang di persisiran pantai iaitu Pantai Laut China Selatan. Apabila jalan raya merentasi  kampung di bina, penempatannya berkembang sejajar di sepanjang jalanraya itu.
    Kesedaran  dalam aspek pendidikanformal diasaskan olehAllahyarham Encik Sutan yang telah menyumbangkan sebahagian rumahnya untuk dijadikan tempat belajar. Allahyarham Encik Hassan bin Abu Bakar, menantu Encik Sutan menjadi guru pertama kepada sebilangan murid yang berminat untuk menimba pengetahuan. Pada tahun 1920, akibat pertambahan murid yang ketara membuatkan seorang penghulu, Allahyarham Tuan Haji Mahdi bin Sahbudin dan seorang imam, Allahyarham Encik Mohamad Yusofbin Perang bersama penduduk tempatan membina sebuah sekolah yang berlantaikan nibung dan berdinding serta berbumbungkan atap nipah berhampiran Kuala Suangai Teriang. Kanak-kanak perempuan masih tidak dibenarkan bersekolah dan gaji gurunya pula dibiayai dari hasil kutipan yuran sebanyak RM 0.50 sebulan bagi setiap murid.
    Tekad penduduk uantuk memajukan pewaris kampung Teriang yang berpendidikan disokong sepenuhnya dengan pembinaan sebuah bangunan sekolah di atas tapak yang ada sekarang secara gotong royong pada tahun 1932. Murid-murid perempuan mula diterima belajar dan tenaga pengajarnya bertambah seorang lagi iaitu Allahyarham Encik Mohamad Ali bin Mina. Bilangan murid juga bertambah kepada 80 orang yang bersekolah dari Darjah 1 hingga Darjah 4. Seterusnya, pihak kerajaan membina sebuah bangunan tambahan pada tahun 1934. Guru Besar ketika itu ialah Allahyarham Tuan Haji Rashidi dan di bantu oleh 2 orang guru lain iaitu Allahyarham Encik Yusif bin Esa dan Encik Ibrahim bin Jusih. Peperangan Dunia Kedua membawa kepada terhentinya kegiatan pendidikan. Suasana selepas peperangan yang masih huru-hara menyebabkan sambutan terhadap bidang pendidikan menjadi dingin. Allahyarham Tuan Haji Rashidi dan Encik Ibrahim bin Jusoh kembali mengajar. Menjelang kemerdekaan, kegiatan pendidikan di sekolah kembali segar. Selepas kemerdekaan, kerajaan memberi perhatian kepada pembangunan sekolah ini. Pada tahun 1963, sebuah bangunan sekolah dibina.

    Episod pertambahan murid yang telah memaksa pihak sekolah menggunakan balai raya Kampung Teriang Besar sebagai sebahagian daripada bilik darjahnya. Pada tahun 1973, SK Penyabong tidak lagi menjadi sebahagian daripada SK Teriang. Kini, sekolah tersebut telah ditadbir oleh Guru Besarnya sendiri. Pada tahun 1974, sebuah lagi bangunan yang mengandungi 4 buah bilik darjah dan sebuah kantin di bina bagi menampung keperluan semasa. Sebuah pusat sumber yang turut mengandungi dewan kecil turut dibina hasil sumbangan Jabatan Pendidikan Negeri Johor pada tahun 1985. Menjelang tahun 2000, SK Teriang memiliki sebuah makmal komputer di bawah peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada tahun 2003 pula, sebuah bangunan baru yang serba lengkap dengan pelbagai bilik darjah serta makmal dan bengkel setinggi 3 tingkat telah didirikan di SK Teriang. SK Teriang telah menyaksikan himpunan muridnya seramai 224 orang murid (Jun 2005) yang meliputi Kelas Pra Sekolah hingga Tahun 6. Semoga mereka yang pernah bersekolah di SK Teriang di masa lalu akan menghantar anak-anak atau cucu-cucu mereka pula untuk memulakan alam sekolah rendah sdi sekolah ini dengan pelbagai kemudahan yang pasti dengan zaman mereka.